Al-Hadith

June 20, 2009

Syura : Hikmah Pensyariatannya dalam Dunia Politik Islam

Oleh :
Siti Nor Ahiasah binti Syafak Ahmad
Graduan Yarmouk
Jabatan Fiqh wa Usuluhu


Syura pada maksud istilah adalah mengambil pandangan atau erti kata lain berbincang atau bermesyuarat. Pensyariatan syura oleh Allah s.w.t memberi banyak impak dalam kehidupan manusia khususnya umat Islam. Pendapat yang dikeluarkan dari sekumpulan orang selepas berbincang mengikut petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah menunjukkan Syura adalah salah satu tanda kesempurnaan aqal yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.


Allah mengambarkan sifat orang mu’min yang disukainya adalah mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan dalam sesuatu perkara sehinggalah mereka duduk berbincang atau bersyura.
FirmanNya : dan bagi orang-orang yang mematuhi seruan tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.. (surah as-syura : 38)

Syura sangat mempengaruhi system pemerintahan antara Khalifah dan rakyat terutama dalam pentadbiran politik dan pelaksanaannya didalam sesebuah negara Islam. Jumhur ulama’ dan Ahli Ta’wil berselisih pendapat dalam hukmah pensyariatan Syura. Antara pendapat-pendapat mereka adalah :

Pendapat Pertama oleh Al-Hassan Al-Basri, Dhohak bin Mazahim, Abdullah bin Abbas, Sufiyan As-Sauri, Ibn Taimiah : Membantu pemerintah dalam melaksanakan dan mengaplikasikan syura dalam dunia politik.

Dari Ibn Abbas berkata : Selepas turunnya ayat surah al-Imran ayat 159, Rasulallah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih mengetahuinya(dalam perkara yang disyurakan), tetapi menjadikannya (syura) rahmat kepada umatku, sesiapa yang bermesyuarat dikalangan mereka tidak akan terpesong dari petunjuk dan sesiapa yang meninggalkannya tidak pula hilang tujuannya “

Ketika Rasulallah bermesyuarat dengan para sahabat, ia sebenarnya menunujukkan bahawa baginda mahu mengajar kepada umat yang akan datang agar bermesyuarat untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dan dapat dilaksanakan selepas itu.


Pendapat Kedua : Menghormati pandangan pimpinan dan rakyat

FirmanNya : “ Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusa itu ( urusan peperangan dan hal-hal duniawi seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain) “… (surah al-Imran :159)

Apabila pemerintah meminta pandangan pemimpin bawahannya dan rakyat kemudian bermesyuarat, ini menunujkkan kemuliaan dan ketinggian darjatnya sebagai pemerintah Negara. Secara tidak langsung, ia menunujkkan bahawa Islam tidak memandang remeh idea atau pendapat yang dikeluarkan oleh ummah kerana mustahil bagi pemerintah untuk mentadbir Negara tanpa bantuan dari oaring lain yang layak membantu pemerintah. Perbincangan yang dilakukan bersama menunjukkan kepercayaan pemerintah kepada mereka yang dipimpinan dibawahnya disamping memperoleh keputusan yang diredhoi dan dihormati oleh rakyat.


Pendapat Ketiga : Pemerintah meminta bantuan melalui pandangan rakyat

Syura adalah salah satu cara pertolongan oleh rakyat yang mana menunujukkan pandangan yang benar dan layak untuk diikuti. Selain itu, ia juga memberi ketenangan kepada pemerintah kerana melaksanakan sesuatu mengikut kehendak rakyat yang dipimpin dibawahnya dan member kekuatan kepada pemerintah dan pemimpin-pemimpin dalam mentadbir Negara.

Dengan adanya Khairul Ummah, Daulah dan Islam yang seiring dan sejalan ia dapat membentuk kehidupan politik antara umat Islam yang stabil dan sempurna.


Pendapat Keempat oleh Imam Syafei : Menimbulkan rasa redho dengan kerugian (sanggup menanggung risiko bersama-sama)

Selepas sesuatu perkara disyurakan dan Khalifah akan mengambil keputusan akhir dan dilaksanakan sepertiman yang telah duputuskan dalam majlis syura. Hasil daripada keputusan yang dibuat akan dapat dilihat setelah ia dilaksanakan.

Kadangkala, apa yang disyurakan tidaklah member impak yang positif seratus peratus, mungkin ada kesalahan atau kerugian yang diperolehi. Namun, impak negative yang diperolehi bukanlah menjadi alsan utama menyalahkan keputusan syura, sebaliknya ia mendidik umat Islam redho dan menerima segalanya denagn hati terbuka kerana ianya datang dari hasil kesepakatan bersama yang dicapai setelah bermesyuarat.


Pendapat Kelima : Dapat membezakan antara penasihat dan pembelot.

Apabila pemerintah mengambil pandangan dari ahli syura, menunjukkan ianya (pandangan) keluar daripada pemerhatian, tujuan, pemikiran dan kecenderungan mereka kerana ahli-ahli politik itu dikenali dengan cara mereka bermesyuarat. Justeru, pemerintah dapat membezakan antara mereka yang berkemampuan (dalam memimpin)atau tidak , perkara yang perlu dinasihati oleh orang Islam atau tidak dan dapat menjauhkan mereka yang berpura-pura (munafiq) yang akan membawa kepada masalah dalam Negara.

Wallahua’lam.

Rujukan : Kitab Islam wa Usul Al-Hukam oleh Dr Mahmud Khalidi – Pensyarah Sains Politik Syar’eiah di Universiti Yarmouk.

0 KATA BALAS:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP