Al-Hadith

June 26, 2009

KENALI ISLAM

Kiriman :
Rumah kayu,
Mahasiswi universiti Yarmouk.

Kebarangkalian persoalan berkaitan mengapa perlu dicetuskan pengenalan Islam pasti timbul.Namun dalam kita menjalani kehidupan sebagai umat Islam saban hari adakah kita benar-benar memahami dan mengenali bagaimana bentuk Islam sebenar? Mungkin ada yang akan berkata “ya” mahupun “tidak”.Itulah adalah kenyataan sebenar,tidak perlu dibuktikan. Tepuk dada,tanyalah hati. Tujuan menulis bukan sekadar ingin berkongsi,tetapi untuk mengisi,disegenap ruang dalam diri agar dapat mengerti. Mari bersama kita koreksi semula asal kewujudan Islam.

Perkataan Islam sebenarnya berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai. Nama Islam itu sendiri datangnya dari Allah Taala Tuhan sekelian alam. Agama Islam adalah agama yang mentauhidkan Allah dan telah lama wujud pada awal kewujudan Nabi Adam A.S. lagi sehingga Nabi terakhir Nabi Muhammad S.A.W. Cuma yang membezakan (antara nabi-nabi) adalah dari segi syariat sahaja.

Nama agama Kristian dan Yahudi pula merujuk kepada kaum atau rasul pada masa tersebut. Sedangkan agama (syariat asal) Kristian dan Yahudi adalah Islam. Pada masa ini terdapat lebih 1.8 bilion Muslim di dunia. Kesemua mereka percaya bahawa Islam diturunkan oleh Allah kepada kesemua rasul-rasulnya, termasuk Nabi Adam A.S., Nabi Nuh A.S., Nabi Ibrahim A.S., Nabi Musa A.S., Nabi Isa A.S. dan akhirnyaNabi Muhammad S.A.W. Pengikut syariat-syariat asal Kristian dan Yahudi digelar ahli kitab. Mereka yang beriman dan beramal dengan ajaran agama Islam digelar Muslim.

Sebagai umat Islam kita percaya bahawa semua makhluk yang berada di dalam alam ciptaan Allah ini termasuklah tumbuh-tumbuhan, binatang, angin, air, bumi, bulan, matahari, bintang dan segalanya akan patuh dan tunduk kepada ketentuan yang ditetapkan oleh Allah swt. Semua makhluk tersebut termasuklah para Malaikat dan sebahagian manusia dan Jin yang patuh adalah Islam kecuali Iblis dan sebahagian lagi dari Jin yang ingkar kepada perintah Allah swt.

Umat Islam juga percaya Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah untuk menyempurnakan syariat yang terdahulu dengan turunnya Kalam Allah iaitu mukjizat teragung ,Al-Quran sebagai panduan dan muamalat baginda sebagai penerangnya. Dalam Islam terdapat 2 bentuk fahaman utama iaitu ahli sunnah wal jamaah(Sunni) dan Syiah. Perbezaan ini adalah disebabkan oleh percanggahan pendapat. Bagaimanapun, kesemua kumpulan ini tetap percaya bahawa Tuhan itu Allah dan dalam Islam terdapat rukun Islam dan rukun Iman yang menjadi teras amalan mukmin serata dunia.

Dalam Islam ada tiga konsep yang penting iaitu Iman , Amal dan Ihsan. Secara ringkasnya Iman adalah berkaitan dengan kepercayaan (aqidah) seorang Muslim. Kepercayaan ini bersandarkan kepada enam perkara yang disebut Rukun Iman. Rukun Islam pula berkait rapat dengan tanggungjawab seseorang Muslim yang perlu dilakukan. Manakala Ihsan menyentuh adab- adab seorang Muslim.

Oleh yang demikian kita sebagai umat Islam perlu akur dengan segala pensyariatan yang telah dilaksanakan dan bersama-sama menegakkan agama Islam agar tidak dicemari dengan tangan-tangan kotor serta dikasari oleh manusia-manusia angkuh yang sering ingin menjatuhkan Islam.Maruah umat Islam perlu dijaga agar tidak dicalari bukan sahaja dengan hunusan-hunusan mata pedang bahkan peluru-peluru berbisa pihak musuh. Andai tergadai maruah,pasti pincang agama dan tersasar segala kayuhan langkahan menuju redha Allah.

Selain itu , kepercayaan utama seseorang Muslim boleh dilihat dengan jelas daripada ucapan dua kalimah syahadah yang bermaksud : لا إله إلا الله محمد رسول الله " Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad ialah pesuruh Allah”. Seseorang yang ingin memeluk Islam hanya perlu menyebut kalimah syahadah untuk bergelar Muslim. Namun dari segiundang-undang, kebanyakan negara seperti Malaysia dan Brunei mewajibkan mualaf (nama yang diberikan kepada orang yang baru menukarkan agamanya kepada Islam) untuk mendaftarkan pertukaran agamanya ke pejabat pendaftaran, atau pejabat agama Islam.

Ini bertujuan bagi memudahkan pengurusan jenazah setelah kematian akibat kemungkinannya timbul perbalahan akibat jenazah mungkin dituntut oleh keluarga yang ingin menyempurnakan jenazah mengikut agama asal.

Seperti hari ini yang mana dapat kita lihat banyak timbulnya masalah-masalah perbalahan perebutan jenazah. Hal ini merumitkan kedua-dua belah pihak. Namun apa yang boleh kita lakukan adalah mendoakan para mualaf ini ditempatkan di tempat yang selayaknya disisi Allah Taala.Moga slogan Islam terus tersemat di dalam hati para mujahid mujahidah semua disamping melaksanakan syariat Allah. Jadikan seuntai keimanan itu mampu menandingi segunung kejahilan. Insya’allah..

0 KATA BALAS:

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP