Al-Hadith

Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

September 9, 2009

Tahap dan Tingkatan Puasa

Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita. Tinggal beberapa hari daripada sekarang.Bagaimanakah dengan puasa kita. Ditahap "tadika" , "sekolah rendah" , "sekolah menengah " atau "universiti". Masing2 melalui Ramadan mengikut tahap keimanan dan ketakwaannya. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Firman Allah swt:

ولكل درجات مما عملوا

"Dan setiap orang yang beramal mempunyai tahap dan tingkatan yang tertentu." (Al-'Anam : 132)


Kebanyakan kita hanya melalui "ramadan primary school" iaitu hanya menahan lapar dan dahaga. Adakah ini sudah memadai untuk membolehkan puasa kita diterima. Cuba kita renung hadis ini:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الّزُوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةً فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ


"Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak elok maka Allah tidak memerlukan (memberi pahala) terhadap meninggalkan makan dan minum." (Hr Bukhari - sahih)

Hadis dibawah ini lebih menjelaskan lagi apakah puasa yang sebenar. Nabi saw bersabda:

لَيْسَ الّصِيَامُ مِنْ الّطَعَامِ وَالّشَرَابِ إِنَّمَا الّصِيَامُ مِنَ الّلَغْوِ وَالّرَفَثِ


"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)

Setelah kita membaca kedua hadis ini, kita mesti merenung dan mengingati kembali segala puasa-puasa kita sebelum ini. Bagaimana dengan puasa kita selama ini. Cuba kita lontarkan persoalan-persoalan ini:

1. Adakah kita masih mengumpat (walaupun benar) dan mengata keburukan orang lain semasa puasa? Memaki dan mencerca orang lain?
2. Adakah kita masih memandang perkara yang haram semasa puasa? melihat movie yang mengandungi gambar yg boleh menyeronokkan nafsu syahwat kita? kebanyakan drama, filem dll ada perkara ini.
3. Adakah kita masih melakukan hubungan cinta semasa puasa ?
4. Adakah kita mendengar lagu-lagu yang haram atau mendengar orang yang mengumpat ketika puasa?
5. Adakah kita menggunakan tangan dan kaki kita untuk perkara yang haram?

Kalau ada salah satu perkara diatas, maka dikhuatiri pahala amalannya lenyap begitu sahaja. Habislah penat lelah dia berpuasa. Renungilah hadis dibawah ini:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوْعُ وَالْعَطَش


"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja." (Hr Ibnu Majah - hasan sahih)

Semestinya kita merasa takut dan bimbang termasuk dalam orang yang tidak diterima puasa dan amalannya. Inilah sikap para ulama salafus soleh yang begitu bimbang amalan mereka tidak diterima walaupun mereka telah melakukan yang terbaik. Abdullah Ibnu Umar berkata:

"Kalaulah aku mengetahui Allah sudah menerima daripadaku satu sujud atau satu dirham sedekah , pasti kematian lebih aku cintai dari segalanya."

Seorang sahabat Nabi saw Fudalah ra juga berkata:

"Kalau aku tahu Allah telah menerima amalanku sebesar biji zarah lebih aku sukai dari dunia dan seisinya."

Oleh itu kita kena sentiasa menilai kembali puasa kita, ditahap manakah ia? kalau kita sudah dapat memelihara anggota kita dari perbuatan yang tidak elok semasa puasa maka kita sudah layak ke tahap pertengahan atau kita sebut "sekolah menengah".

Bagaimakah untuk kita melayakkan puasa kita ditahap "universiti". Kita bukan sahaja menjaga anggota kita semasa puasa malahan menjaga hati kita dari selain dari Allah. Inilah jawapan seorang Soleh, bila ditanya "Kamu puasa dari apa?" lalu beliau menjawab:

أن الصائم عما سوى الله


"Aku menahan diri dari mengingati selain dari Allah."

Kesimpulan

Marilah kita sama-sama meningkat kualiti puasa kita. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Ini bagi memastikan amalan kita diterima. Ramai orang yang diberi kekuatan untuk beramal tetapi tidak ramai amalannya yang diterima. Imam Ibnu "Ataillah as-Sakandari berkata:

رُبَّمَا فَتَحَ لَكَ بَابَ الّطَاعَةِ وَلَمْ يَفْتَحْ لَكَ بَابَ الْقَبُوْلِ


"Kemungkinan Allah membuka pintu amal untuk kamu dan Allah belum membuka pintu penerimaan amalan untukmu."

Semoga beberapa hari yang berbaki di bulan Ramadan ini kita memperbanyakkan amalan dan semoga Allah membuka pintu penerimaan amalannya untuk kita.


Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

August 2, 2009

Dua nikmat yang tidak terasa

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Bagaimanapun ada dua nikmat yang besar yang banyak orang tidak terasa.

Sabda Rasulullah:
"Dua nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu." (Riwayat Bukhari.)

"Sesungguhnya di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan Kami menjirus dengan air yang dingin?" (Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.)

Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah, tidak takut pada Allah bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.


Satu lagi nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang, sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri mereka sahaja, tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melengung di kedai kopi, bersembang-sembang dan sebagainya. Sedangkan masa lapang yang Allah bagi hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar dunia.

Sabda Rasulullah: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa luangmu sebelum masa sibuk dan masa hidupmu sebelum matimu." (Ditakhrij Al Hakim)
sumber

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 29, 2009

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku!!

Oleh :
Hilal Asyraf
Mahasiswa Tahun 1,
Usuluddin, Universiti Yarmouk



Sepanjang kehidupan saya, saya ada jumpa pelbagai jenis lelaki. Tapi, yang menariknya, sepanjang hidup saya ini juga, saya sukar hendak berjumpa lelaki yang tidak teruja kepada perempuan.

“Ini fitrah la bro, fitrah”

Ya. Sebab fitrah lelaki, pasangannya mesti adalah perempuan. Dua jantina ini macam magnet kutub utara kutub selatan. Saling tarik menarik.

Hal ini menyebabkan kita boleh melihat, golongan-golongan lelaki yang akan bersiul bila perempuan cantik lalu, ada pula yang minta nak jalan sekali, kadang-kadang sengaja ambil tempat duduk di dewan kuliah sebelah perempuan dan berusaha bersungguh-sungguh nak buat perempuan itu bersembang dengannya.

Persoalannya, apakah benar begitu caranya kita melayani fitrah kita?

Saya tidak nampak itu melainkan hanya gangguan.

Maka dalam post ini, saya hendak nyatakan kepada kamu wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan ini.

Di dalam Surah An-Nur, ayat 30, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat selepas itu, ayat 31, Allah SWT berfirman pula kepada perempuan perkara yang sama:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

Kenapa, Allah menegur lelaki terlebih dahulu dalam hal ini?

Kerana biasanya, dalam hal ini, lelaki yang akan tumbang terlebih dahulu. Lelaki kadang-kadang mudah jatuh dengan pandangannya. Dia mudah rasa teruja.

Sebab itu, kalau kita lihat, yang bersiul-siul adalah lelaki kepada perempuan. Saya tak pernah nampak lagi perempuan bersiul kepada lelaki. Sebab tu yang biasa dilihat adalah lelaki yang tanya kepada perempuan: “Boleh I duduk sebelah you?” Sebab itu juga yang biasa dilihat adalah lelaki yang offer: “Jalan sorang je, nak teman?”

Tetapi lihatlah apa pesanan Allah kepadamu wahai lelaki.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”

Jika kamu beriman, maka kamu akan menundukkan pandangan kamu, dan menyekat nafsu kamu dari menguasai diri.

“Ini fitrah la bro. Kena cepat la mengorat. Nanti terlepas”

Ya. Saya akui itu fitrah. Saya tak nafikan. Saya tidak pernah menyalahkan fitrah itu. Tetapi, semua perkara ada caranya. Contohnya: Fitrah manusia adalah Islam. Tapi kita tidak boleh pakai hentam sahaja mengamalkan Islam. Ada cara solatnya, ada cara zikirnya, ada cara buat kebaikannya. Begitu juga dalam fitrah lelaki perempuan ini. Sudah ada batas-batas yang Islam tetapkan untuk kita.

“Kalau ikut batas-batas ni, lembab la bro. Kang orang kebas”

Hem… Lembab kah? Ya. Saya akui, memang lambat sikit kalau ikut jalan yang syara’ bagi.

Tapi, pernah dengar tak kata-kata: “Biar lambat, asal selamat”?

“Itu kat jalan raya la bro, masa memandu”

Ya, kita ni dalam ‘jalan raya’ hendak pulang kepada akhirat, dan kita sedang ‘memandu’ diri kita untuk pulang kepada Allah.

Islam sudah mengaturkan batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ada step-stepnya kalau nak ambil perempuan jadi isteri. Kenapa semua itu Islam susun? Sebab nak jaga kemaslahatan manusia. Cuba kamu fikir, kalau kamu main mengorat je perempuan yang kamu jumpa, perempuan yang lalu depan kamu, perempuan yang kamu nampak cantik, banyak kebaikan atau banyak keburukan?

Mana kamu tahu perempuan tu single? Mana kamu tahu perempuan tu belum bertunang/kahwin ke? Sekali kamu mengorat, jatuh hati pula perempuan itu pada kamu, kan dah haru biru rumah tangga/hubungan perempuan itu dengan suami/tunangnya? Kamu dah rosakkan hidup orang. Kemudian, bila kamu mengorat-mengorat ni, nama kamu jadi baik ke? Atau orang akan cop kamu dengan pelbagai gelaran yang tidak menyenangkan? Kamu rosakkan pula diri kamu, dan kamu dah sia-siakan ibu bapa kamu yang membesarkan kamu dengan susah payah.

Tambahan, stylo mengorat ni, di mata saya pun, tak bersih langsung. Apa yang kamu nak harapkan dari jalan yang Allah larang? Ada ke keberkatan di dalamnya? Adakah Allah akan kira ‘mengorat’ kamu tu sebagai amal? Bagaimana kondisi iman kamu ketika mengorat? Ketika kamu bersiul-siul, offer itu ini, duduk sebelah perempuan, bagaimana hubungan kamu dengan Allah?

“Ala bro, nanti bila dah dapat, dah kahwin, kita taubat la”

Adakah sebuah rumah itu, akan bertahan lama dengan bahan binaan yang tidak berkualiti? Adakah sebuah rumah itu cantik, dengan hiasan-hiasan kotor? Dan belum tentu lagi, kita ‘mampu untuk bertaubat’ atau ‘sempat untuk bertaubat’ atau ‘teringat untuk bertaubat’ nanti.

Jangan sempitkan pandangan kamu wahai lelaki. Jangan gopoh mengejar masa hadapan. Kita tidak mahu masa hadapan yang lekeh. Kita tak mahu mendirikan hubungan kita dengan perempuan hanya kerana suka, hanya kerana dia cantik, hanya kerana tak tahan nafsu. Apa yang kamu hendak buat bila cantik perempuan itu pudar nanti? Apa yang kamu hendak buat bila kamu tidak lagi bernafsu dengannya nanti? Lebih besar lagi, apakah kamu rasa, dengan keadaan kamu, kamu boleh membawa pasangan kamu itu berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan di hadapan kamu.

Jika kamu inginkan perempuan untuk menemani kamu, apa kata kita ambil jalan yang Islam tetapkan. Walaupun diakui agak lambat, tetapi jalan ini amat bersih. Jalan yang menjaga hati. Dalam masa kita mencintai perempuan itu, hubungan kita dengan Allah tidak terganggu. Mengambil jalan yang Islam tetapkan ini juga, menunjukkan keseriusan dan kematangan anda. InsyaAllah, Allah akan memberkati bukan setakat anda dan pasangan anda sahaja. Tetapi Allah akan berkati seluruh keluarga anda, harta anda, rezeki anda, keturunan anda, kerana anda telah memulakan perjalanan membina keluarga ini dengan jalan yang diredhai-Nya. Mustahil Allah akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya.

Apa yang ada bila kamu mengorat-ngorat? Apa yang kamu dapat? Kamu sebenarnya telah merosakkan diri kamu.

Malah, secara tidak langsung, kamu merosakkan nama keluarga kamu di mata manusia, merosakkan pula taraf lelaki di mata dunia, dan merosakkan akhirat kamu di hadapan-Nya.

Hentikanlah.

Seorang ibu ada menceritakan kepada saya perihal anak perempuannya di universiti.

Katanya: “Makcik risau la Hilal dengan keadaan sekarang ni. Anak makcik tu, entah berapa kali kena kacau. Bila jalan, ada lelaki minta nak teman. Bila duduk dalam kuliah, ada lelaki nak minta duduk kat sebelah. Makcik tak suka la lelaki macam tu. Tak soleh.”

Kalau saya, saya pun tak suka. Bayangkan wahai lelaki, orang buat anak perempuan kamu macam itu? Atau ada lelaki tiba-tiba mengorat mak kamu? Atau ada lelaki lain nak ‘tackle’ isteri/tunang kamu? Kamu puas hati? Boleh kah kamu kata pada diri kamu ketika itu: “Biarlah, dah fitrah…”

Boleh kah?

Sebab itu, Allah melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan dan mengambil Islam itu secara sempurna. Nak mengorat perempuan pun, kena ikut cara Islam ajarkan. Lebih selamat, lebih terjaga, dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Jadi wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku.

Kenapa saya kata ‘perempuan aku’? Khas kepada orang yang saya suka sahajakah? Khas kepada adik perempuan saya sahaja kah?

Tidak.

Saya tidak suka lelaki, menganggu mana-mana sahaja perempuan yang ada. Saya letakkan ‘perempuan aku’ kerana saya rasa bertanggungjawab atas perempuan-perempuan yang ada. Perempuan di mata saya amat mulia. Jadi saya tidak suka perempuan itu rosak, dirosakkan. Sebab perempuan, mereka akan melahirkan anak-anak yang membentuk masa hadapan dunia. Kalau perempuan rosak, maka rosak lah masa hadapan kita.

Pada saya, anda pun wahai lelaki, perlu merasakan apa yang saya rasakan.

Allah SWT telah berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,” Surah An-Nisa’ ayat 34.

Maka bro, apa kata kamu berhenti mengorat-ngorat ni.

Kita lelaki, dipertanggungjawabkan menjaga perempuan dengan baik. Bukan merosakkan mereka.

Kalau suka, jom kita ambil cara yang bersih, cara yang baik, cara yang diredhai Allah SWT.

Saya berani berjanji yang anda akan menjadi lebih bahagia, lebih tenang, lebih senang apabila anda mengikuti apa yang telah Allah tetapkan. Anda perlu yakin, kesabaran anda dalam mengikuti perintah-Nya, akan terbayar. Sebab janji-janji Allah itu adalah benar. Jangan anda rasa terganggu bila melihat orang lain melanggar perintah-Nya. Kita, teruskan dengan ketaatan kita.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” Surah Ar-Rum ayat 60.

Tundukkanlah pandangan, jagalah kemaluan, pertahankanlah kehormatan.

Kita lelaki, adalah ketua keluarga, pemimpin kepada perempuan. Kalau kita rosak wahai lelaki, maka keluarga itu akan rosak dan tidak stabil, seperti kapal kehilangan nakhoda.

Mari sama-sama kita lakar masa hadapan kita, dengan lakaran keimanan, ketaatan kepada-Nya.

Ps: mungkin ada perempuan yang nak kongsi betapa dia tidak suka dikacau-kacau lelaki, mungkin ada ibu bapa nak kongsi betapa hatinya tidak senang anak perempuannya dikacau-kacau orang atau anak lelakinya menjadi pengacau, mungkin ada lelaki yang nak bagi nasihat kepada dirinya dan lelaki-lelaki lain, maka dipersilakan dengan penuh kehormatan.

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 20, 2009

rahmat disebalik dugaan

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikumwarahmatullah..

Seperti semua sedia maklum kita baru sahaja mendengar berita tentang musibha yang melanda keluarga sahabat kita, keluarganya yang menjadi mangsa kebakaran dan kini hanya sehelai sepinggang sahaja. Mendapat berita itu, terus sahaja mulut ini terkumit mengucapkan lafaz2 ilahi yang sesuai denganNya. Allah itu yang maha memberi rezeki, dan dengan kekuasaanya juga kesemua akan dikembalikan.. "Innalillahi wa Inna ilaihi Roji'un"

Saya tidak mahu mengetahui ahli keluarga siapakah itu, bagaimana berlaku, dimana, punca dan sebagainya.Yang hanya saya dimaklumkan cuma pelajar tersebut adalah mahasiswa tahun 1, menuntut di Universiti Yarmouk. Cukuplah dengan peristiwa tersebut menjadi pengajaran serta peringatan kepada kita. Jadi, izinkan saya berkongsi sesuatu yang saya kira manfaatnya dapat kita kongsi bersama.


Maksud Firman Allah SWT

Iaitu orang2 yang apabila di timpa musibah mereka mengucapkan : "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari tuhannya, dan mereka ialah orang2 yang mendapat petunjuk


al Baqarah : 156 - 157

Izinkan kalam ana berbicara...insyaAllah...

Dunia, suatu destinasi indah, indah dengan nikmat dan rahmatNya. Ramai sekali yang betul2 menghayati keindahan dunia dengan se'optimum' mungkin. Kenapa tidak mahu menikmati keindahan dunia sedangkan ia memang disediakan untuk kita menikmatinya?...sedar atau tidak, CARA menikmati itu yang berbeza beza mengikut rentak dan personaliti diri, cara yang haq kah?...atau cara yang batil?...ana tinggalkan persoalan itu.

Dengan nikmat dan rahmat dariNya yang melimpah ruah, adakala membuat manusia alpa, yang ujian dan dugaan dariNya juga pasti tiba. Perlu kita sedar, sedarlah se awal mungkin akan hakikat ini agar tidak tersentak dikemudian hari. Pastinya dengan persedian itu akan membuat kita lebih memahami konsep musibah, ujian dan dugaan ini.

Tiada siapa yang mampu lari dari hakikat ini, ana sendiri, pastinya...PASTI!...
kesedian itulah yang akan membantu kita, insyaAllah. Ramai dikalangan kita bila ditimpa musibah, akan merasakan bahawa merekalah yang paling malang, paling berdukacita dan bila ditanya dan dinasihati, jawapannya.."kamu tak rasa apa yang aku rasa"...itulah jawapan kebiasaan yang kita dengar...ialah...dia saja yang faham.

Biarlah jika dia seorang saja yang rasa...ana tak mahu memanjangkan soal itu. Apa yang ana mahu cetuskan adalah kesedian menghadapi musibah. Kuatkan iman dan teguhkannya, yakinlah apa yang datang itu adalah peringatan dariNya. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang maksudnya :

"Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya (dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya"
HR Bukhari & Muslim

Redhalah dengan musibah yang mendatang, hargainya sebagai tarbiyah dari Allah dan berusalah kearah yang lebih baik kerana itulah yang sepatutnya bagi setiap dari kita, bukan mengeluh sehari hari, berputus asa, dan membuang masa...ya Allah...permudahkanlah urusan kami!

Pastinya setiap dugaan yang mendatangi diri disertai dengan hikmah dan rahmat dariNya, cuma ada yang dapat melihat hikmah dan rahmat itu sedangkan ada pula yang tidak berkemampuan melihatnya dengan jelas bahkan tidak nampak langsung!. Bagaimana untuk melihat semua itu?...lihatlah dengan mata hati, ramai yang hanya mengunakan mata zahir yang dua itu, tapi tidak ramai yang mahu melihat dengan mata hati kurniaan ilahi.

Gunakanlah mata hati kurniaan Yang Maha Kuasa itu, lihatlah sedalam dalamnya kedalam diri, tadabbur segala musibah yang berlaku, puncakkan semaksima mungkin pengertian diri, teruskan...teruskan...dan teruskan...pastinya kita akan dapat melihat keindahan disebalik kegusaran...insyaAllah

Bila menceritakan soal musibah pastinya banyak kisah2 tauladan yang boleh kita jadikan tauladan, antara mahu atau tidak sahaja. Satu darinya, ingatkah dengan kisah Ummu salamah yang terlalu bersedih hati dengan kematian Abu Salamah, merasakan itu puncak kesedihannnya...hinggalah suatu ketika dia sedar dari kesedihan itu dan mula bertanya siapakah yang lebih baik dari Abu Salamah. Akhirnya apa yang Ummu Salamah dapat?...Rasulullah SAW sendiri datang meminang, dan apa lagi yang lebih bahagia ketika itu?...subhanallah!

Janganlah terlalu melayani kehendak sedih itu, tapi cubalah bermujahadah mengingatkan akan hikmahnya...insyaAllah
Abdul Aziz bin Abu Rowwad pernah berkata ada 3 perkara yang menjadi gudang2 syurga iaitu :

1. Menyembunyikan perasaan duka ketika ditimpa musibah
2. Menyembunyikan penyakit
3. Menyembunyikan sedekah


Sebahagian ulama' salaf pula pernah berkata ada 3 perkara yang dengannya akan diuji akal manusia :

1. Dengan harta yang melimpah ruah
2. Dengan diturunkan musibah
3. Dengan pangkat dan kekuasaan


Setiap kali ditimpa musibah, janganlah mengeluh ngeluh tetapi ucapkanlah istirja', sesuai dengan hadith Rasulullah SAW yang maksudnya :

" Barangsiapa yang pernah ditinpa musibah lalu ia ingat akan musibah itu serta memperbaharui ucapan istirja itu walaupun telah berlalu masanya, maka Allah akan mengurniakan pahala kepadanya sebesar pahala disaat ia ditimpa musibah saat itu"

HR Ibnu Majah

* Hanya sebagai ingatan, istirja' itu adalah innalillahi wainnailaihi roji'un

Ketahuilah besarnya rahmat disebalik dugaan, jangan pula dijadikan alasan untuk berputus asa, tetapi jadikan ia sebagai satu batu loncatan untuk menempuh kejayaan, sudah biasa kita dengar bukan, setiap kegagalan itu adalah permulaan bagi kejayaan, insyaAllah. Dan jangan pula kita terlalu terbuai dengan kenikmatan dunia, ingatlah firmah Allah " Qul mataa'uddunya qalilun " dari surah an nisa'...katakanlah kesenangan dunia ini hanya sebentar. Wallahua'alam

sumber

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 19, 2009

Anugerah bersama UJIAN!!

Dari :
Nur Atiqah binti Mohd Nasir
Mahasiswi tahun 3, bahasa arab,
Universiti Yarmouk..

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah,walhamdulillah...dan sentiasa bersyukur kerana masih dberi nkmat untuk melihat,menaip dan mneruskan berjuang sebagai seorag da'ie..insyaAllah..

Apa yang nak share kali ni adalah tentang diri anda,kamu,saya,aku..antum,antunna semua.. Tentang apa??pasti anda mengalaminya kan? Jika tak, got something wrong tuh.. U.J.I.A.N.. Ya!! Itulah yang dinamakan mehnah..setiap manusia ada ujian dan dugaan mereka yang hanya Allah tahu kemampuan hambaNya..


1) UJIAN SEBAGAI PRASYARAT KEIMANAN


"Alif Lam Miiim.Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan(saja)mengatakan: Kami telah beriman," sedang mereka belum diuji?
{al-ankabut:1-2}

Al-imam Asy syaukani mentafsirkan ayat ini menyebutkan: "setiap manusia pasti akan diuji sehingga terang nyata perbezaan diantara orang2 yang ikhlas dengan orang2 yang munafiq,antara orang2 yang benar dan berdusta.."(fathul Qadeer)

Orang2 yang ikhlas dan benar2 beriman pastilah akan bersabardengan ujian itu,dan menerimanya dengan hati yang tenang..lalu,terbuktilah keimanan mereka..Namun,bagi golongan munafiq ujian adalah satu bebanan yang menyusahkanyang boleh menyebabkan mereka menyumpah2 dalam hati..Koreksilah diri kita,,dimana kita..


2) UJIAN SEBAGAI JALAN JIHAD,SUMBER PAHALA&TARBIYYAH KESABARAN

" Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan..Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang2 yang sabar..iaitu orang2 yang apabila ditimpa musibah,mereka mengucapkan "inna lillaahi wa innailaihi raji'un{al-baqarah:155-156}

Disini kita dapat simpulkan beberapa intipati dalam ayat ini..iaitu:

*Ujian sebagai tarbiyyah agar manusia bersabar
*Merupakan sumber pahala bagi orang2 yang sabar
*Ujian sebagai satu peluang jihad yang dikurniakan Allah..


3) UJIAN SEBAGAI PERINGATAN AGAR MANUSIA KEMBALI PADA ALLAH

"....dan kami uji mereka dengan(nikmat)yang baik2 dan (bencana)yang buruk2 ,agar mereka kembali (kepada kebenaran)
{al-A'raaf :168}

Ujian Allah jika kita lihat bukan sekadar kesusahan,akan tetapi juga nikmat dan ketenangan.apakah manusia itu bersyukur dengan nikmat itu atau tidak??Ayat ini juga menggambarkan betapa Maha Pengasihnya Allah..manusia kadang2 lupa,leka..tetapi,Allah masih sayang pada hambaNya dengan cara uijan agar manusia kembali pada firah asalnya..setiap manusia fitrah dilahirkan baik..jadi,apabila terpesong sedarlah hidayah dariNya datang pelbagai bentuk..genggamlah ia sebelum ia terlepas dan tidak akan kembali lagi..bertaubatlah,kerana sudah pasti tidak akan tertanggung azab diakhirat kelak..sedangkan ujian yang sedikit pun terasa susah..apatah lagi di akhirat nanti..


4) UJIAN SEBAGAI PENGHAPUS DOSA

Sabda Rasulullah s.a.w :"Setiap mukmin itu apabila tercucuk padanya satu duri sekalipun,akan dikurangkan dosanya pada hai kiamat(Riwayat Ahmad)

Rasulullah s.a.w menggunakan syibbih duri,menunjukkan bahawa sekecil mana pun kesakitan akibat ujian yang dialami oleh seorang mukmin,akan menjadi penghapus dosabaginya diakhirat kelak..

Alangkah bahagianya seorang mukmin,apabila diuji terus dia ingatkan dosanya yang akan terhapus diakhirat nanti,lalu tenanglah dia,sakitnya tidak akan terasa!!!

Jadi sedarlah wahai manusia,Ujian yang ALLAH turunkan buat manusia itu merupakan sesuatu yang positif..Justeru,setiap kali diuji seharusnya kita ingat bahawa Allah itu Maha Sempurna lagi Maha Mengetahui..dan tidak menzalimi hambaNYa..

"dan tiadalah Allah berkehendak untuk menganaiya hamba-hambaNya"
{aal-Imran:108}

"SEsungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun,akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri."
{yunus:44}

Tangan yang menaip lebih dekat dengan tuan punya badan..saya mengingatkan diri saya, juga kawan2,sahabat2,antum,antunna sekalian,agar kita thabit pada jalanNya..setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya..cuma kita saja samada sedar @tidak..

segala yang baik dari Allah yang buruk dari Allah disandarkan pada saya.maaf andai tekasar bahasa..hiduplah untuk ISLAM....
Dan perenggan-perenggan berikutnya di sini

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

June 21, 2009

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S. W. T

Kiriman :
Rumah kayu,
Mahasiswi Yarmouk

Rasulullah S. A. W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim) Rasulullah S. A. W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S. W. T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.



5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba'.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S. A. W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S. W. T dan jauh dari Allah." Hassan r. a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

June 12, 2009

Ilmu atau markah??

Dari :
Ukht Nadia binti Ismail
Graduan Universiti Yarmouk
Jabatan Syariah, pengkhususan Fiqh waUsuluhu.


طلبة الشريعة : العلم أو العلامة ؟

INILAH tajuk muhadharah (lecture) umum yang pernah diadakan di Fakulti Syariah. Tetapi saya tidak berkesempatan untuk menghadirinya kerana bertembung dengan waktu kuliah. Namun tajuk perbincangannya masih saya ingat. Ingat kerana tertarik. Ingat kerana tersentak. Persoalan ini dilontarkan untuk menjana kembali fikrah penuntut ilmu agama, apakah yang lebih perlu diutamakan, ilmu atau markah? Jika ditanya kepada sesiapa pun, sudah tentu dijawab ilmu lebih utama. Ya, jawapan fitrah kita adalah ilmu. Tetapi jika dinilai betul-betul, kita akan mendapati bahawa markah lebih diutamakan oleh mahasiswa pengajian Islam secara realitinya.




Rata-rata di antara kita sentiasa berlumba-lumba untuk mengejar muaddal (pointer) yang tinggi berbanding bersaing untuk menambah serta memantapkan ilmu yang ada. Hanya mengharapkan segala yang disampaikan pensyarah di dalam kuliah dan menganggap ‘sudah cukup’. Saya pernah berhadapan dengan seorang teman yang amat kecewa apabila subjek yang digemarinya tidak mencapai sasaran yang diletakkan, sehingga menjejaskan kehidupan hariannya. Lagaknya seperti orang sakit jiwa. Murung sepanjang hari. Membisu seribu bahasa. Malah enggan menjamah sesuap nasi sehari suntuk.

Wah! Saya cukup kagum dengan orang sebegini. Saya sendiri tidak sanggup mengikat perut semata-mata kerana tidak gembira dengan keputusan peperiksaan. Dalam satu program motivasi ketika mengambil UPSR dahulu, seorang cikgu dalam salah satu slot ada berkata, “Selepas buat latihan, semak, dan kalau kamu mendapat markah penuh, belilah hadiah dan hadiahkan kepada diri kamu sendiri.” Hanya kata-kata sebegini yang pernah saya dengar. Tidak pula saya pernah dinasihatkan untuk menghukum diri jika gagal dalam mana-mana ujian melainkan kata-kata : “Takpe, cuba lagi. Masih ada masa.”


Tabiat orang kita

Sebelum pendaftaran dibuka, senarai madah (subjek) terlebih dahulu dikeluarkan beserta waktu kuliah dan nama pensyarah secara online. Menjadi tabiat pelajar Malaysia untuk bertanyakan pandangan ‘orang yang lebih berpengalaman’ (kononnya). Dan soalan yang paling popular adalah : “Doktor (pensyarah) ni syadid (strict) tak, kak?”. Kalau soalan ini hinggap pada saya, cepat saja saya menjawab, “Syadid dari segi apa – markah atau akhlaq?”. Mudah saja skema jawapan saya. Kalau markah, jawapannya OK! (walaupun bukan kesemua markah saya bertaraf cemerlang) Kalau akhlaq, baru saya akan jelaskan prinsip pensyarah mengenai bab akhlaq pelajar, khususnya pakaian. (doktor yang paling syadid bab pakaian adalah Dr Faleh, sheikh kesayangan kami yang wajahnya mirip Sheikh Ahmad Yassin).

Saya merupakan generasi pertama yang belajar di University Yarmouk dari tahun pertama setelah beberapa ketika dihentikan penghantaran pelajar ke university tertua di Jordan ini. Kami hanya berpeluang untuk menjadi junior dalam tempoh setahun sahaja. Bukan mudah untuk menjadi perintis lebih-lebih lagi di tempat orang. Ketiadaan senior mendorong kami untuk lebih berdiri dengan kaki sendiri (berdikari). Tidak ramai yang boleh kami rujuk melainkan beberapa kerat senior yang datang secara persendirian (yang kesemuanya lelaki).

Adakalanya kami juga bertanyakan pandangan mereka sebelum tiba waktu pendaftaran. Cuma bentuk soalannya berbeza. Kepada adik-adik, tukarlah soalan kalian kepada : “Doktor ni macammana ye?”. Maka penjelasan yang boleh kami berikan lebih umum, mengenai latarbelakang pengajian mereka, cara hidup dan qudwah mereka, cara penyampaian, dan sebagainya.

Malangnya, amat jarang diantara kita yang bertanyakan : “Madah ini mengenai apa? Bagaimana skop pembelajarannya?” dan soalan-soalan yang berkaitan mengenai madah tersebut. Tetapi soalan yang sering diutarakan : “Berat tak madah ni?”. Soalan subjektif ini memang sukar untuk dijawab kerana persepsi dan pandangan setiap orang berbeza. Seperti contoh, madah Ahkam Tarikat (hukum pewarisan). Menurut seorang senior madah ini berat, tetapi apabila saya sendiri mengambilnya, saya merasakan bahawa madah ini antara yang termudah (lebih-lebih lagi apabila menggunakan nombor). Tanggapan awal kadangkala berbahaya kepada si penuntut ilmu.


Kedudukan Ilmu

Lumrahnya, mereka yang menjejakkan kaki ke university bertujuan untuk menuntut ilmu baru di samping memperkasakan ilmu yang sedia ada. Namun, mentaliti mahasiswa kini agak menyedihkan. Apabila muaddal lebih diutamakan, di manakah pula kedudukan ilmu?

Allah telah memuliakan para penuntut ilmu dengan mengangkat darjat mereka.

“Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.“ (az-Zumar : 9)

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah : 11)

Sehinggakan seluruh makhluq turut sama mendoakannya.

Daripada Anas r.a : “Orang yang mempunyai ilmu dipohon ampun baginya semua benda sehingga paus di laut. (Riwayat Abu Ya’la)

Sungguh! Betapa mulia dan tingginya kedudukan ilmu, sedangkan muaddal? Allah tidak pernah menjanjikan syurga kepada mereka yang mendapat mumtaz, tetapi syurgaNya untuk mereka yang berilmu dan beramal soleh.


Matlamat menuntut ilmu

( العلم بلا عمل كالسيارة بلا ستيرينغ )
Ilmu tanpa amalan seperti kereta tanpa stereng.

Ayat sebenarnya berbeza, tetapi saya lebih suka me nyebut begini. Bukan sekadar mudah diingati, saya mengharapkan mudah diikuti.

Bayangkan kereta tanpa stereng, ibarat tiada arah tujuan bila-bila akan tersasar. Begitulah juga ilmu tanpa amal. Inilah tujuan asal ilmu dituntut. Untuk diamalkan. Semakin banyak ilmu, semakin berat tanggungjawab untuk mengamalkannya. Sebagai seorang penuntut ilmu, seharusnya kita mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Bukan seperti lalang, ditiup angin terus hilang.

Ke universiti sudah tentunya untuk menuntut ilmu. Tidak kiralah ilmu apa sekali pun. Syariah. Ekonomi. Bahasa Arab. Apabila muaddal yang dikejar, sudah tentu kadangkala terpaksa mengabaikan keutamaan ilmu. Bukankah lebih baik kita bena r-benar memburu ilmu walaupun adakalanya terpaksa mengorbankan sedikit muaddal. Saya bukanlah menyeru untuk langsung tidak mementingkan prestasi muaddal, tetapi tidak ramai di antara kita yang mampu membawa kedua-duanya seiring dan sejalan. Jadi, utamakan yang lebih utama!


Tajdid niat

Sesungguhnya sifat pelupa tidak dapat dipisahkan dengan manusia. Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke universiti, semangat masih lagi berkobar-kobar. Tetapi setelah sekian lama dalam medan perjuangan menuntut ilmu, adakalanya kita terlupa akan niat yang asal. Adakalanya tersalah niat di permulaan amal. Jadi, sekaranglah masanya untuk kita mentajdid (memperbaharui) niat mengapa menuntut ilmu. Masing-masing renung dan fikirkan niat sendiri. Adakah niat kita belajar untuk memiliki pekerjaan hebat dengan gaji yang besar, atau sekadar tradisi keluarga yang kesemuanya belajar di luar negara, atau kerana memenuhi tawaran yang diterima…dan segala faktor yang lain..ATAU kita belajar untuk beramal dengan ilmu yang diperoleh.

ILMU DIAMAL IMAN DITINGKAT - Motto sekolah rendah saya. Ringkas tapi penuh makna. Inilah tujuan menuntut ilmu. Beramal dengan ilmu untuk menambah iman dan cinta pada Rabb. Apa guna ilmu jika semakin jauh dengan Tuhan? Matlamat hidup hanya satu, MARDHATILLAH!

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP