Al-Hadith

June 12, 2009

Ilmu atau markah??

Dari :
Ukht Nadia binti Ismail
Graduan Universiti Yarmouk
Jabatan Syariah, pengkhususan Fiqh waUsuluhu.


طلبة الشريعة : العلم أو العلامة ؟

INILAH tajuk muhadharah (lecture) umum yang pernah diadakan di Fakulti Syariah. Tetapi saya tidak berkesempatan untuk menghadirinya kerana bertembung dengan waktu kuliah. Namun tajuk perbincangannya masih saya ingat. Ingat kerana tertarik. Ingat kerana tersentak. Persoalan ini dilontarkan untuk menjana kembali fikrah penuntut ilmu agama, apakah yang lebih perlu diutamakan, ilmu atau markah? Jika ditanya kepada sesiapa pun, sudah tentu dijawab ilmu lebih utama. Ya, jawapan fitrah kita adalah ilmu. Tetapi jika dinilai betul-betul, kita akan mendapati bahawa markah lebih diutamakan oleh mahasiswa pengajian Islam secara realitinya.




Rata-rata di antara kita sentiasa berlumba-lumba untuk mengejar muaddal (pointer) yang tinggi berbanding bersaing untuk menambah serta memantapkan ilmu yang ada. Hanya mengharapkan segala yang disampaikan pensyarah di dalam kuliah dan menganggap ‘sudah cukup’. Saya pernah berhadapan dengan seorang teman yang amat kecewa apabila subjek yang digemarinya tidak mencapai sasaran yang diletakkan, sehingga menjejaskan kehidupan hariannya. Lagaknya seperti orang sakit jiwa. Murung sepanjang hari. Membisu seribu bahasa. Malah enggan menjamah sesuap nasi sehari suntuk.

Wah! Saya cukup kagum dengan orang sebegini. Saya sendiri tidak sanggup mengikat perut semata-mata kerana tidak gembira dengan keputusan peperiksaan. Dalam satu program motivasi ketika mengambil UPSR dahulu, seorang cikgu dalam salah satu slot ada berkata, “Selepas buat latihan, semak, dan kalau kamu mendapat markah penuh, belilah hadiah dan hadiahkan kepada diri kamu sendiri.” Hanya kata-kata sebegini yang pernah saya dengar. Tidak pula saya pernah dinasihatkan untuk menghukum diri jika gagal dalam mana-mana ujian melainkan kata-kata : “Takpe, cuba lagi. Masih ada masa.”


Tabiat orang kita

Sebelum pendaftaran dibuka, senarai madah (subjek) terlebih dahulu dikeluarkan beserta waktu kuliah dan nama pensyarah secara online. Menjadi tabiat pelajar Malaysia untuk bertanyakan pandangan ‘orang yang lebih berpengalaman’ (kononnya). Dan soalan yang paling popular adalah : “Doktor (pensyarah) ni syadid (strict) tak, kak?”. Kalau soalan ini hinggap pada saya, cepat saja saya menjawab, “Syadid dari segi apa – markah atau akhlaq?”. Mudah saja skema jawapan saya. Kalau markah, jawapannya OK! (walaupun bukan kesemua markah saya bertaraf cemerlang) Kalau akhlaq, baru saya akan jelaskan prinsip pensyarah mengenai bab akhlaq pelajar, khususnya pakaian. (doktor yang paling syadid bab pakaian adalah Dr Faleh, sheikh kesayangan kami yang wajahnya mirip Sheikh Ahmad Yassin).

Saya merupakan generasi pertama yang belajar di University Yarmouk dari tahun pertama setelah beberapa ketika dihentikan penghantaran pelajar ke university tertua di Jordan ini. Kami hanya berpeluang untuk menjadi junior dalam tempoh setahun sahaja. Bukan mudah untuk menjadi perintis lebih-lebih lagi di tempat orang. Ketiadaan senior mendorong kami untuk lebih berdiri dengan kaki sendiri (berdikari). Tidak ramai yang boleh kami rujuk melainkan beberapa kerat senior yang datang secara persendirian (yang kesemuanya lelaki).

Adakalanya kami juga bertanyakan pandangan mereka sebelum tiba waktu pendaftaran. Cuma bentuk soalannya berbeza. Kepada adik-adik, tukarlah soalan kalian kepada : “Doktor ni macammana ye?”. Maka penjelasan yang boleh kami berikan lebih umum, mengenai latarbelakang pengajian mereka, cara hidup dan qudwah mereka, cara penyampaian, dan sebagainya.

Malangnya, amat jarang diantara kita yang bertanyakan : “Madah ini mengenai apa? Bagaimana skop pembelajarannya?” dan soalan-soalan yang berkaitan mengenai madah tersebut. Tetapi soalan yang sering diutarakan : “Berat tak madah ni?”. Soalan subjektif ini memang sukar untuk dijawab kerana persepsi dan pandangan setiap orang berbeza. Seperti contoh, madah Ahkam Tarikat (hukum pewarisan). Menurut seorang senior madah ini berat, tetapi apabila saya sendiri mengambilnya, saya merasakan bahawa madah ini antara yang termudah (lebih-lebih lagi apabila menggunakan nombor). Tanggapan awal kadangkala berbahaya kepada si penuntut ilmu.


Kedudukan Ilmu

Lumrahnya, mereka yang menjejakkan kaki ke university bertujuan untuk menuntut ilmu baru di samping memperkasakan ilmu yang sedia ada. Namun, mentaliti mahasiswa kini agak menyedihkan. Apabila muaddal lebih diutamakan, di manakah pula kedudukan ilmu?

Allah telah memuliakan para penuntut ilmu dengan mengangkat darjat mereka.

“Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.“ (az-Zumar : 9)

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (al-Mujadalah : 11)

Sehinggakan seluruh makhluq turut sama mendoakannya.

Daripada Anas r.a : “Orang yang mempunyai ilmu dipohon ampun baginya semua benda sehingga paus di laut. (Riwayat Abu Ya’la)

Sungguh! Betapa mulia dan tingginya kedudukan ilmu, sedangkan muaddal? Allah tidak pernah menjanjikan syurga kepada mereka yang mendapat mumtaz, tetapi syurgaNya untuk mereka yang berilmu dan beramal soleh.


Matlamat menuntut ilmu

( العلم بلا عمل كالسيارة بلا ستيرينغ )
Ilmu tanpa amalan seperti kereta tanpa stereng.

Ayat sebenarnya berbeza, tetapi saya lebih suka me nyebut begini. Bukan sekadar mudah diingati, saya mengharapkan mudah diikuti.

Bayangkan kereta tanpa stereng, ibarat tiada arah tujuan bila-bila akan tersasar. Begitulah juga ilmu tanpa amal. Inilah tujuan asal ilmu dituntut. Untuk diamalkan. Semakin banyak ilmu, semakin berat tanggungjawab untuk mengamalkannya. Sebagai seorang penuntut ilmu, seharusnya kita mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Bukan seperti lalang, ditiup angin terus hilang.

Ke universiti sudah tentunya untuk menuntut ilmu. Tidak kiralah ilmu apa sekali pun. Syariah. Ekonomi. Bahasa Arab. Apabila muaddal yang dikejar, sudah tentu kadangkala terpaksa mengabaikan keutamaan ilmu. Bukankah lebih baik kita bena r-benar memburu ilmu walaupun adakalanya terpaksa mengorbankan sedikit muaddal. Saya bukanlah menyeru untuk langsung tidak mementingkan prestasi muaddal, tetapi tidak ramai di antara kita yang mampu membawa kedua-duanya seiring dan sejalan. Jadi, utamakan yang lebih utama!


Tajdid niat

Sesungguhnya sifat pelupa tidak dapat dipisahkan dengan manusia. Ketika mula-mula menjejakkan kaki ke universiti, semangat masih lagi berkobar-kobar. Tetapi setelah sekian lama dalam medan perjuangan menuntut ilmu, adakalanya kita terlupa akan niat yang asal. Adakalanya tersalah niat di permulaan amal. Jadi, sekaranglah masanya untuk kita mentajdid (memperbaharui) niat mengapa menuntut ilmu. Masing-masing renung dan fikirkan niat sendiri. Adakah niat kita belajar untuk memiliki pekerjaan hebat dengan gaji yang besar, atau sekadar tradisi keluarga yang kesemuanya belajar di luar negara, atau kerana memenuhi tawaran yang diterima…dan segala faktor yang lain..ATAU kita belajar untuk beramal dengan ilmu yang diperoleh.

ILMU DIAMAL IMAN DITINGKAT - Motto sekolah rendah saya. Ringkas tapi penuh makna. Inilah tujuan menuntut ilmu. Beramal dengan ilmu untuk menambah iman dan cinta pada Rabb. Apa guna ilmu jika semakin jauh dengan Tuhan? Matlamat hidup hanya satu, MARDHATILLAH!

1 KATA BALAS:

Anonymous June 12, 2009 at 11:07 AM  

salam,tajuk begini sering sy dgr ketika dlm tingktn 5...antra ilmu dan markah..pd sy ape yg diutarakan oleh senior sy nie btol..sememangnya ilmu lbh pntg dr markah tp kite semua kne ingt ye shbt2 dan senior2 mnusia zaman skrg lbh memandang kpd berapa A ko dpt,cemerlang ke tdk..malah sy sndri tdk menafikan pointer yg cemerlang jgak memainkan peranan pntg untuk kite menyebarkan ilmu dan jgak menyebarkan dakwah...seorg shbt sy prnh mengutarakan 1 persoalan pd sy ketika sy mengambil stam,"klo blaja dan dpt markah cemerlang tp ttbe org tnye jwpn kite serupa @ lbh kurg je dgn org yg x blaja sprt kite,lalu dimne beza kite dgn mereka???"tersentap rasa hati tatkala persoalan ini dilontarkan..dua2 penting tp ilmu yg kite dpt jauh lbh pntg...klo markah cemerlang tp still x amal ilmu yg dpt x guna jgakkn??kita x masuk syurga sbb kita dpt markah cemerlang tp kita msuk syurga dgn amalan dr ilmu2 yg kita perolehi...jd pikir2kan dan renung2kan...dpt markah yg cemerlang adlh 1 bonus yg baik tuk kita sebarkan ilmu kita...seorg shbt sy jgak prnh berkata menjawab dgn baik dlm peperiksaan dan memperoleh markah yg baik adlh 1 amanah...ble markah cemerlang org pndg tinggi..tp suka sy ingtkn pd semua dpt markah cemerlang tp msh x amal ilmu x guna jgak...dpt markah cemerlang tp msh buat ape yg Allah larang sdgkn kita tahu itu zalim nmenya..so fikir2lah sendri..tepuk dada tnye iman...

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP