Al-Hadith

July 22, 2009

Mengambil manfaat daripada arak??

Dari :
Ustaz fakhrurrazi,
Mahasiswa universiti Yarmouk

Arak telah disepakati akan keharamannya di sisi Islam. Perkara ini telah menjadi ijma’ di kalangan ulama dan umat Islam.


يـا أيها الذين آمنوا إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون

“Wahai orang-orang yang beriman hanya sesungguhnya arak, judi, berhala dan menilik adalah kotor (dan keji) daripada amalan syaitan maka hendaklah kamu jauhinya moga-moga kamu menjadi orang yang berjaya”

[ al-Maaidah: 90]

Para ulama’ tidak sepakat di dalam menghuraikan maksud ( رجس ). Ada di antaranya yang menyatakan bahawa lafaz ini membawa maksud najis hakiki yang sekiranya terkena pada badan dan selainnya maka hendaklah ia dibasuh. Manakala sebahagiannya yang lain menyatakan bahawa ia adalah najis maknawi iaitu ianya sesuatu yang keji dan perlu di jauhi.

ADAKAH ARAK NAJIS HAKIKI ATAU MAKNAWI

Secara ringkasnya, telah sepakat di kalangan jumhur fuqaha’ bahkan disepakati di dalam mazhab yang empat bahawa kenajisan arak adalah najis hakiki. Cuma segelintir sahaja di kalangan ulama’ yang menghukumkannya sebagai najis maknawi seperti Rabi’ah ( tok guru Imam Malik) al-Muzani as-Syafi’e, al-Laith bin Sa’ad, dan lainnya di samping keharaman meminumnya. Manakala Sa’id al-Haddad yang berfatwa akan kesuciannya berhujahkan bahawa para sahabat pernah menghempas botol-botol arak ke bumi di jalanan Madinah setelah turun ayat menyatakan akan keharamannya kerana sekiranya arak itu najis, nescaya Nabi saw akan melarang para sahabat daripada berbuat demikain kerana akan mengotorkan jalan-jalan di Madinah.

Perkara ini dihujah balas oleh al-Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa perkara tersebut dilakukan oleh para sahabat kerana ketika itu tidak ada terusan yang dikorek yang membolehkan mereka berbuat demikian dan membawa kesemua arak keluar Madinah adalah suatu kerja yang sukar dan menyusahkan.

KESEMUA YANG MEMABUKKAN ADALAH ARAK


Arak di dalam bahasa arab disebut sebagai khamar (خمر ). Definisi khamar dari segi bahasa ialah menutup sesuatu. Maka dinamakan khamar kerana ia menutup aqal yang sihat. Al-Imam ad-Dzahabi di dalam “Kitabul Kabair” menyatakan;

والخمر ما خامر العقل ، أي غطاه ، سواء كان رطبا أو يابسا أو مأكولا أو مشروبا

“Dan khamar itu ialah apa yang memasuki aqal, iaitu menutupnya, sama ada basah atau kering, yang dimakan atau yang diminum"


Arak dari segi definisi syara’ pula ialah nama bagi setiap benda yang memabukkan. Hadith Nabi saw;

كل مسكر خمر ، وكل خمر حـــــــــــــــــرام

“Semua yang memabukkan itu adalah arak, dan semua arak itu adalah haram”


[Riwayat Imam Muslim]

Ramai di kalangan ulama’ yang menjadikan hujah dengan hadith ini menyatakan bahawa setiap yang memabukkan, tak kira apa pun namanya maka ia adalah arak. Tak kira sama ada yang mengandungi alcohol atau tidak. Asal sahaja ia memabukkan maka ia adalah arak.

Hadith Nabi saw lainnya;

كل ما أسكر كثيره فقليله حـــرام

“Setiap yang memabukkan dengan jumlahnya yang banyak, maka yang sedikit daripadanya juga adalah haram”


[Diriwayat oleh Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi]

Daripada kedua-dua hadith ini dapatlah kita nyatakan illah atau sebab kepada haramnya arak ialah mabuk. Maka setiap yang memabukkan tak kira apa jua nama atau jenisnya, beralkohol ataupun tidak, minuman atau makanan maka ia adalah haram di sisi syara’.

MENGAMBIL MANFAAT DARIPADA ALKOHOL SELAIN ARAK


Telah dinyatakan bahawa arak adalah haram tidak kira atas alasan apa sekalipun waima atas alasan perubatan. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi saw;

إنه ليس بدواء ، ولكنه داء

“Sesungguhnya ia (arak) bukanlah ubat, bahkan (pembawa) penyakit”


[Riwayat Imam Muslim]

Sabda baginda saw lagi;


إن الله لم يجعل شفائكم في حرام

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar bagimu pada apa yang diharamkan”


[Riwayat Ibn Hibban]

Tetapi bagaimana pula dengan alcohol? Adakah arak itu alcohol dan alcohol itu arak? Atau alcohol yang wujud dalam arak berbeza dengan alcohol yang wujud dalam benda selainnya?

Perkara ini banyak dipersoal masyarakat. Aku cuba membelek beberapa kitab-kitab fatwa yang ada untuk mencari jawapan.
Secara umumnya alcohol terbahagi kepada dua jenis. Pertama yang dinamakan ethanol dan kedua dinamakan methanol . Untuk mendapat kepastian aku bertanya dengan sahabatku Dr Aizat Amiruddin yang mengambil jurusan perubatan di JUST tentang kandungan alcohol di dalam arak dan alcohol yang wujud di dalam ubat-ubatan. Beliau menyatakan bahawa 80% alcohol yang ada di dalam ubat adalah alcohol yang sama wujud di dalam arak (ethanol) tapi kepekatannya berbeza-beza mengikut jenis ubat. Pada peringkat mulanya aku membuat kesimpulan peribadi untuk menyatakan keharusan menggunakan ubat-ubat yang mengandungi alcohol sebelum maklumat berharga yang aku peroleh ini sampai ke pengetahuanku. Tapi aku “taraddud” setelah maklumat ini aku terima. Kerana awalnya aku menyangka semua alcohol yang terkandung di dalam ubat 100% berbeza dengan alcohol yang wujud dalam arak. Lalu aku kembali membelek fatwa-fatwa di kalangan ulama’ semasa berkenaan perkara ini secara perlahan-lahan. Satu demi satu aku baca bahkan kadang-kadang aku ulang berkali-kali ayat yang sama untuk menyakinkan apa yang aku baca.

Para ulama’ Syafi’eyyah menayatakan bahawa sekiranya alcohol yang memabukkan itu (ethanol, atau dalam bahasa mudahnya arak) dengan tujuan perubatan dicampur dengan bahan-bahan yang lain sehingga menyebabkan berlakunya istihlak ( استهلاك ) iaitu hilangnya unsur-unsur arak itu maka ianya dibolehkan syara’ untuk digunakan dengan syarat;

1. Setelah mendapat nasihat daripada doctor muslim yang adil

2. Tiada alternative

3. Kandungan yang terlalu sedikit dan tidak memabukkan

Oleh yang demikian aku mengira, inilah juga hasil daripada istinbat hukum yang diberikan oleh Dr. Sa’id Ramadhan al-Buthi apabila beliau menyatakan tentang haramnya ubat yang mengandungi alcohol sekiranya memabukkan dan sekiranya tidak memabukkan kerana kandungan yang sedikit dan darurat maka ia dimaafkan

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula berfatwa bahawa sekiranya alcohol yang memabukkan itu bercampur dengan minuman atau sebagainya dengan nisbah 5:1000 iaitu 0.05% atau dengan kata lain jumlah yang terlalu sedikit maka ia harus digunakan kerana jumlah yang sedikit itu tidak memberi kesan perubahan dengan syarat alcohol yang wujud itu berlaku dengan kaedah semula jadi dalam bahan tersebut dan bukan dicampur dengan sengaja.

Manakala alcohol yang wujud dalam minyak wangi juga berlaku khilaf akan keharusan menggunanya kerana mungkin maklumat yang sampai kepada para ulama’ berdasarkan teknologi sains kimia dizaman masing-masing.

Mengikut Dr Ali Jumu’ah, beliau menyatakan secara agak terperinci bahawa alcohol terbahagi kepada 16 jenis yang mana tidak semuanya memabukkan. Dan bagi kategori ethanol (yang memabukkan) termasuk di bawahnya dua keadaan;

1. Digunakan dengan tujuan untuk memabukkan seperti arak maka ia adalah haram.

2. Digunakan bukan dengan tujuan untuk memabukkan seperti minyak wangi, iodine yang digunakan sebagai penyah jangkitan dan sebagainya. Bagi keadaan ini para ulama’ Hanafiyyah kesemuanya menyatakan akan keharusan menggunakannya, bahkan tidak dikira najis sekira inilah tujuannya.

KESIMPULAN

Isu-isu sebegini menunujukkan kepada kita bahawa para ulama’ itu tidak seharusnya berdiri sendiri dalam menyatakan hukum syar’iat dan para pakar dalam pengkhususan masing-masing seperti doctor perubatan misalnya juga tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga membelakangkan kehendak syari’at. Maha benarlah perintah Allah Ta’ala;

فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون

“Maka bertanyalah kamu kepada yang pakar sekiranya kamu tidak tahu”


[Surah an-Nahl: 43]

Wallahua’lam

p/s: kalau batuk mak aku suruh makan madu perah limau..takde madu kicap pun boleh.walaupun bid’ah dalam perubatan tapi insyaAllah mujarab punya…serius, aku tak tipu ni…

Rujukan

[1] Sohih Muslim bi syarah al-nawawi

[2] Sohih Ibn Hibban

[3] al-Mufassol fi ahkam al-mar’ah wal baitil muslim; Dr Abd Karim Zaidan

[4] al-Halal wal haram fil Islam; Dr Yusuf al-Qaradhawi

[5] al-Intifa’ bil a’yan al-muharromah; Jumanah Muhammad Abd Razzak

[6] Fatawa asriyyah; Dr Ali Jumu’ah

[7] Fatawa Syar’iah; Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris

[8] Mausu’ah feqhiyyah kuwaitiyyah

[9] Kitab al-kabair; al-Imam ad-Dzahabi

[10] Ma'a an-naas: musyawwarat wa fatawa; Dr Sa'id Ramadhan al-Buthi

[11]http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5881&version=1&template_id=130&parent_id=17

1 KATA BALAS:

Anonymous August 10, 2009 at 9:08 PM  

salam,
sdh jelas arak bnyk mudaratny kpd masyarakat.nk tny.apakah kesan kemudaratan arak kpd ekonomi ? syukran

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP