Al-Hadith

July 29, 2009

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku!!

Oleh :
Hilal Asyraf
Mahasiswa Tahun 1,
Usuluddin, Universiti Yarmouk



Sepanjang kehidupan saya, saya ada jumpa pelbagai jenis lelaki. Tapi, yang menariknya, sepanjang hidup saya ini juga, saya sukar hendak berjumpa lelaki yang tidak teruja kepada perempuan.

“Ini fitrah la bro, fitrah”

Ya. Sebab fitrah lelaki, pasangannya mesti adalah perempuan. Dua jantina ini macam magnet kutub utara kutub selatan. Saling tarik menarik.

Hal ini menyebabkan kita boleh melihat, golongan-golongan lelaki yang akan bersiul bila perempuan cantik lalu, ada pula yang minta nak jalan sekali, kadang-kadang sengaja ambil tempat duduk di dewan kuliah sebelah perempuan dan berusaha bersungguh-sungguh nak buat perempuan itu bersembang dengannya.

Persoalannya, apakah benar begitu caranya kita melayani fitrah kita?

Saya tidak nampak itu melainkan hanya gangguan.

Maka dalam post ini, saya hendak nyatakan kepada kamu wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan ini.

Di dalam Surah An-Nur, ayat 30, Allah SWT berfirman:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat selepas itu, ayat 31, Allah SWT berfirman pula kepada perempuan perkara yang sama:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

Kenapa, Allah menegur lelaki terlebih dahulu dalam hal ini?

Kerana biasanya, dalam hal ini, lelaki yang akan tumbang terlebih dahulu. Lelaki kadang-kadang mudah jatuh dengan pandangannya. Dia mudah rasa teruja.

Sebab itu, kalau kita lihat, yang bersiul-siul adalah lelaki kepada perempuan. Saya tak pernah nampak lagi perempuan bersiul kepada lelaki. Sebab tu yang biasa dilihat adalah lelaki yang tanya kepada perempuan: “Boleh I duduk sebelah you?” Sebab itu juga yang biasa dilihat adalah lelaki yang offer: “Jalan sorang je, nak teman?”

Tetapi lihatlah apa pesanan Allah kepadamu wahai lelaki.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”

Jika kamu beriman, maka kamu akan menundukkan pandangan kamu, dan menyekat nafsu kamu dari menguasai diri.

“Ini fitrah la bro. Kena cepat la mengorat. Nanti terlepas”

Ya. Saya akui itu fitrah. Saya tak nafikan. Saya tidak pernah menyalahkan fitrah itu. Tetapi, semua perkara ada caranya. Contohnya: Fitrah manusia adalah Islam. Tapi kita tidak boleh pakai hentam sahaja mengamalkan Islam. Ada cara solatnya, ada cara zikirnya, ada cara buat kebaikannya. Begitu juga dalam fitrah lelaki perempuan ini. Sudah ada batas-batas yang Islam tetapkan untuk kita.

“Kalau ikut batas-batas ni, lembab la bro. Kang orang kebas”

Hem… Lembab kah? Ya. Saya akui, memang lambat sikit kalau ikut jalan yang syara’ bagi.

Tapi, pernah dengar tak kata-kata: “Biar lambat, asal selamat”?

“Itu kat jalan raya la bro, masa memandu”

Ya, kita ni dalam ‘jalan raya’ hendak pulang kepada akhirat, dan kita sedang ‘memandu’ diri kita untuk pulang kepada Allah.

Islam sudah mengaturkan batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ada step-stepnya kalau nak ambil perempuan jadi isteri. Kenapa semua itu Islam susun? Sebab nak jaga kemaslahatan manusia. Cuba kamu fikir, kalau kamu main mengorat je perempuan yang kamu jumpa, perempuan yang lalu depan kamu, perempuan yang kamu nampak cantik, banyak kebaikan atau banyak keburukan?

Mana kamu tahu perempuan tu single? Mana kamu tahu perempuan tu belum bertunang/kahwin ke? Sekali kamu mengorat, jatuh hati pula perempuan itu pada kamu, kan dah haru biru rumah tangga/hubungan perempuan itu dengan suami/tunangnya? Kamu dah rosakkan hidup orang. Kemudian, bila kamu mengorat-mengorat ni, nama kamu jadi baik ke? Atau orang akan cop kamu dengan pelbagai gelaran yang tidak menyenangkan? Kamu rosakkan pula diri kamu, dan kamu dah sia-siakan ibu bapa kamu yang membesarkan kamu dengan susah payah.

Tambahan, stylo mengorat ni, di mata saya pun, tak bersih langsung. Apa yang kamu nak harapkan dari jalan yang Allah larang? Ada ke keberkatan di dalamnya? Adakah Allah akan kira ‘mengorat’ kamu tu sebagai amal? Bagaimana kondisi iman kamu ketika mengorat? Ketika kamu bersiul-siul, offer itu ini, duduk sebelah perempuan, bagaimana hubungan kamu dengan Allah?

“Ala bro, nanti bila dah dapat, dah kahwin, kita taubat la”

Adakah sebuah rumah itu, akan bertahan lama dengan bahan binaan yang tidak berkualiti? Adakah sebuah rumah itu cantik, dengan hiasan-hiasan kotor? Dan belum tentu lagi, kita ‘mampu untuk bertaubat’ atau ‘sempat untuk bertaubat’ atau ‘teringat untuk bertaubat’ nanti.

Jangan sempitkan pandangan kamu wahai lelaki. Jangan gopoh mengejar masa hadapan. Kita tidak mahu masa hadapan yang lekeh. Kita tak mahu mendirikan hubungan kita dengan perempuan hanya kerana suka, hanya kerana dia cantik, hanya kerana tak tahan nafsu. Apa yang kamu hendak buat bila cantik perempuan itu pudar nanti? Apa yang kamu hendak buat bila kamu tidak lagi bernafsu dengannya nanti? Lebih besar lagi, apakah kamu rasa, dengan keadaan kamu, kamu boleh membawa pasangan kamu itu berdiri di hadapan Allah dengan baik?

Wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan-perempuan di hadapan kamu.

Jika kamu inginkan perempuan untuk menemani kamu, apa kata kita ambil jalan yang Islam tetapkan. Walaupun diakui agak lambat, tetapi jalan ini amat bersih. Jalan yang menjaga hati. Dalam masa kita mencintai perempuan itu, hubungan kita dengan Allah tidak terganggu. Mengambil jalan yang Islam tetapkan ini juga, menunjukkan keseriusan dan kematangan anda. InsyaAllah, Allah akan memberkati bukan setakat anda dan pasangan anda sahaja. Tetapi Allah akan berkati seluruh keluarga anda, harta anda, rezeki anda, keturunan anda, kerana anda telah memulakan perjalanan membina keluarga ini dengan jalan yang diredhai-Nya. Mustahil Allah akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya.

Apa yang ada bila kamu mengorat-ngorat? Apa yang kamu dapat? Kamu sebenarnya telah merosakkan diri kamu.

Malah, secara tidak langsung, kamu merosakkan nama keluarga kamu di mata manusia, merosakkan pula taraf lelaki di mata dunia, dan merosakkan akhirat kamu di hadapan-Nya.

Hentikanlah.

Seorang ibu ada menceritakan kepada saya perihal anak perempuannya di universiti.

Katanya: “Makcik risau la Hilal dengan keadaan sekarang ni. Anak makcik tu, entah berapa kali kena kacau. Bila jalan, ada lelaki minta nak teman. Bila duduk dalam kuliah, ada lelaki nak minta duduk kat sebelah. Makcik tak suka la lelaki macam tu. Tak soleh.”

Kalau saya, saya pun tak suka. Bayangkan wahai lelaki, orang buat anak perempuan kamu macam itu? Atau ada lelaki tiba-tiba mengorat mak kamu? Atau ada lelaki lain nak ‘tackle’ isteri/tunang kamu? Kamu puas hati? Boleh kah kamu kata pada diri kamu ketika itu: “Biarlah, dah fitrah…”

Boleh kah?

Sebab itu, Allah melarang kita mengikuti langkah-langkah syaitan dan mengambil Islam itu secara sempurna. Nak mengorat perempuan pun, kena ikut cara Islam ajarkan. Lebih selamat, lebih terjaga, dunia dan akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” Surah Al-Baqarah ayat 208.

Jadi wahai lelaki, jangan kamu ganggu perempuan aku.

Kenapa saya kata ‘perempuan aku’? Khas kepada orang yang saya suka sahajakah? Khas kepada adik perempuan saya sahaja kah?

Tidak.

Saya tidak suka lelaki, menganggu mana-mana sahaja perempuan yang ada. Saya letakkan ‘perempuan aku’ kerana saya rasa bertanggungjawab atas perempuan-perempuan yang ada. Perempuan di mata saya amat mulia. Jadi saya tidak suka perempuan itu rosak, dirosakkan. Sebab perempuan, mereka akan melahirkan anak-anak yang membentuk masa hadapan dunia. Kalau perempuan rosak, maka rosak lah masa hadapan kita.

Pada saya, anda pun wahai lelaki, perlu merasakan apa yang saya rasakan.

Allah SWT telah berfirman:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,” Surah An-Nisa’ ayat 34.

Maka bro, apa kata kamu berhenti mengorat-ngorat ni.

Kita lelaki, dipertanggungjawabkan menjaga perempuan dengan baik. Bukan merosakkan mereka.

Kalau suka, jom kita ambil cara yang bersih, cara yang baik, cara yang diredhai Allah SWT.

Saya berani berjanji yang anda akan menjadi lebih bahagia, lebih tenang, lebih senang apabila anda mengikuti apa yang telah Allah tetapkan. Anda perlu yakin, kesabaran anda dalam mengikuti perintah-Nya, akan terbayar. Sebab janji-janji Allah itu adalah benar. Jangan anda rasa terganggu bila melihat orang lain melanggar perintah-Nya. Kita, teruskan dengan ketaatan kita.

“Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.” Surah Ar-Rum ayat 60.

Tundukkanlah pandangan, jagalah kemaluan, pertahankanlah kehormatan.

Kita lelaki, adalah ketua keluarga, pemimpin kepada perempuan. Kalau kita rosak wahai lelaki, maka keluarga itu akan rosak dan tidak stabil, seperti kapal kehilangan nakhoda.

Mari sama-sama kita lakar masa hadapan kita, dengan lakaran keimanan, ketaatan kepada-Nya.

Ps: mungkin ada perempuan yang nak kongsi betapa dia tidak suka dikacau-kacau lelaki, mungkin ada ibu bapa nak kongsi betapa hatinya tidak senang anak perempuannya dikacau-kacau orang atau anak lelakinya menjadi pengacau, mungkin ada lelaki yang nak bagi nasihat kepada dirinya dan lelaki-lelaki lain, maka dipersilakan dengan penuh kehormatan.

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 25, 2009

Al-Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikumwarahmatullah..

Maksud Firman Allah SWT

Iaitu orang2 yang apabila di timpa musibah mereka mengucapkan : "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari tuhannya, dan mereka ialah orang2 yang mendapat petunjuk


al Baqarah : 156 - 157

Al-Fatihah buat ibu sahabat kita, Faizal yang telah dijemput ilahi pada 25 Julai, sesudah selesainya solat subuh.Innalillahi wa inna ilaihi roojiun. Ibunya berusia 65 tahun dengan tiba-tiba sesak nafas lalu menghembuskan nafas terakhir. Semoga ditempatkan bersama orang2 beriman.. AL-FATIHAH!!

Kematian itu tidak mengenal usia, tempat dan tidak memilih sesiapa. Kematian itu adalah suatu yang pasti, dan pasti kita akan menemuinya. Keadaan yang bagaimanakah kita akan dijemput menemui ilahi??

“ Setiap yang bernyawa akan merasai kematian, dan akan disempurnakan balasan kamu di hari kiamat, barangsiapa yang diselamatkan dari api neraka, dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya”

Surah Ali-Imran ayat 185.

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 24, 2009

kalian pergi jua




Semoga Allah merahmati perjalanan kalian serta dipermudahkan urusan. Tinggalkan yang pahit itu disini, dan pulanglah dengan kemanisan yang terpalit dan terpahat di sanubari sebagai kenangan terindah..

Jadilah sebahagian dari bintang yang menyinar untuk masyarakat kelak, ameen! Maafkan segala kesilapan dan halalkan segala yang terkurang. Terima kasih di atas perkenalan ini.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..
Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMu
Bertemu untuk mematuhi perintahMu
Bersatu memikul beban da'wahMu

Hati-hati ini telah mengikat janji setia
Untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalanMu yang benar
Penuhilah hati-hati ini dengan cahayaMu
yang tiada pernah pudar
Lapangkanlah dada kami dengan limpahan keimanan kepadaMu
dan keindahan bertawakkal kepadaMu
Hidup suburkan hati kami dengan ma’rifat padaMu
Matikanlah kami dalam syahid di jalanMu

Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung
dan sebaik-baik penolong..

Amin Ya Robbal 'Alamin


p/s : Senior iqtisod akan berangkat pulang ke Malaysia pada 26 Julai, 2 a.m.

Bagi akhawat PERMAI yang nak dtg wida'..bolehlah datang selepas asar di bayt Andaleep (depan simsimah) ye..
Bagi pihak syabab pula, wida' di rumah mereka (imarah azhar jannah)..

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

Syaaban kini, dan ramadhan menanti.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Allahumma baariknaa fi rajaba wa syaabana, wa ballighnaa ramadhaan, ameen ya Allah!!
Moga kita semua sempat menemui ramadhan tahun ini.

Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Dinamakan demikian kerana orang-orang Arab pada bulan tersebut bertempiaran untuk mencari air, setengahnya mengatakan bahawa mereka mencari air itu di gua-gua. Sebahagiannya pula mengatakan sebab diertikan demikian kerana ia sebagai pemisah iaitu memisahkan di antara bulan Rejab dan Ramadhan.

Semarakkan bulan syaaban ini, jangan biar ia berlalu begitu sahaja! Bulan syaaban adalah bulan pengecas ibadah untuk kita samoai ke bukan ramadhan, bulan menggandakan ibadah..

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

berita

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualikumwarahmatulah.

Sama-samalah kita mengambil ibrah dari kejadian yang menimpa keluarga 2 orang sahabat kita :


1) Abdul Rahman bin Shaary

Rumah yang diduduki keluarganya di Malaysia telah mengalami kebakaran. Kebakaran yang melibatkan 3 buah rumah itu dioercayai bermula dari rumah tengah yang dimaklumkan terlupa akan air yang dimasak di dapur, lantas meletup dan berlaku kebakaran, serta merebak ke rumah kiri dan kanan termasuklah rumah sahabat kita, Abdul Rahman. Dimaklumkan bahawa keluarganya tidak dapat menyelamatkan sebarang keperluan cuma adiknya sahaja yang sempat menyelamatkan buku UPSR (Ujian Penilaian Sekolah REndah) kerana akan menghadapi peperiksaan besar itu tidak lama lagi. Alhamdulillah ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun kematian, cuma harta yang langsung tidak dapat diselamatkan.


2) Ustaz A. Mohd Rahmat bin Abdul Haliff

Ayah Ustaz Rahmat telah dijemput ilahi, telah habis taklifannya di dunia ini pada 15 Julai 2009, akibat serangan jantung. Moga2 ditempatkan di kalangan orang soleh, Ameen..

" لا يكلف الله نفسا الا وسعها"

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

July 22, 2009

Mengambil manfaat daripada arak??

Dari :
Ustaz fakhrurrazi,
Mahasiswa universiti Yarmouk

Arak telah disepakati akan keharamannya di sisi Islam. Perkara ini telah menjadi ijma’ di kalangan ulama dan umat Islam.


يـا أيها الذين آمنوا إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون

“Wahai orang-orang yang beriman hanya sesungguhnya arak, judi, berhala dan menilik adalah kotor (dan keji) daripada amalan syaitan maka hendaklah kamu jauhinya moga-moga kamu menjadi orang yang berjaya”

[ al-Maaidah: 90]

Para ulama’ tidak sepakat di dalam menghuraikan maksud ( رجس ). Ada di antaranya yang menyatakan bahawa lafaz ini membawa maksud najis hakiki yang sekiranya terkena pada badan dan selainnya maka hendaklah ia dibasuh. Manakala sebahagiannya yang lain menyatakan bahawa ia adalah najis maknawi iaitu ianya sesuatu yang keji dan perlu di jauhi.

ADAKAH ARAK NAJIS HAKIKI ATAU MAKNAWI

Secara ringkasnya, telah sepakat di kalangan jumhur fuqaha’ bahkan disepakati di dalam mazhab yang empat bahawa kenajisan arak adalah najis hakiki. Cuma segelintir sahaja di kalangan ulama’ yang menghukumkannya sebagai najis maknawi seperti Rabi’ah ( tok guru Imam Malik) al-Muzani as-Syafi’e, al-Laith bin Sa’ad, dan lainnya di samping keharaman meminumnya. Manakala Sa’id al-Haddad yang berfatwa akan kesuciannya berhujahkan bahawa para sahabat pernah menghempas botol-botol arak ke bumi di jalanan Madinah setelah turun ayat menyatakan akan keharamannya kerana sekiranya arak itu najis, nescaya Nabi saw akan melarang para sahabat daripada berbuat demikain kerana akan mengotorkan jalan-jalan di Madinah.

Perkara ini dihujah balas oleh al-Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa perkara tersebut dilakukan oleh para sahabat kerana ketika itu tidak ada terusan yang dikorek yang membolehkan mereka berbuat demikian dan membawa kesemua arak keluar Madinah adalah suatu kerja yang sukar dan menyusahkan.

KESEMUA YANG MEMABUKKAN ADALAH ARAK


Arak di dalam bahasa arab disebut sebagai khamar (خمر ). Definisi khamar dari segi bahasa ialah menutup sesuatu. Maka dinamakan khamar kerana ia menutup aqal yang sihat. Al-Imam ad-Dzahabi di dalam “Kitabul Kabair” menyatakan;

والخمر ما خامر العقل ، أي غطاه ، سواء كان رطبا أو يابسا أو مأكولا أو مشروبا

“Dan khamar itu ialah apa yang memasuki aqal, iaitu menutupnya, sama ada basah atau kering, yang dimakan atau yang diminum"


Arak dari segi definisi syara’ pula ialah nama bagi setiap benda yang memabukkan. Hadith Nabi saw;

كل مسكر خمر ، وكل خمر حـــــــــــــــــرام

“Semua yang memabukkan itu adalah arak, dan semua arak itu adalah haram”


[Riwayat Imam Muslim]

Ramai di kalangan ulama’ yang menjadikan hujah dengan hadith ini menyatakan bahawa setiap yang memabukkan, tak kira apa pun namanya maka ia adalah arak. Tak kira sama ada yang mengandungi alcohol atau tidak. Asal sahaja ia memabukkan maka ia adalah arak.

Hadith Nabi saw lainnya;

كل ما أسكر كثيره فقليله حـــرام

“Setiap yang memabukkan dengan jumlahnya yang banyak, maka yang sedikit daripadanya juga adalah haram”


[Diriwayat oleh Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmidzi]

Daripada kedua-dua hadith ini dapatlah kita nyatakan illah atau sebab kepada haramnya arak ialah mabuk. Maka setiap yang memabukkan tak kira apa jua nama atau jenisnya, beralkohol ataupun tidak, minuman atau makanan maka ia adalah haram di sisi syara’.

MENGAMBIL MANFAAT DARIPADA ALKOHOL SELAIN ARAK


Telah dinyatakan bahawa arak adalah haram tidak kira atas alasan apa sekalipun waima atas alasan perubatan. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi saw;

إنه ليس بدواء ، ولكنه داء

“Sesungguhnya ia (arak) bukanlah ubat, bahkan (pembawa) penyakit”


[Riwayat Imam Muslim]

Sabda baginda saw lagi;


إن الله لم يجعل شفائكم في حرام

“Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar bagimu pada apa yang diharamkan”


[Riwayat Ibn Hibban]

Tetapi bagaimana pula dengan alcohol? Adakah arak itu alcohol dan alcohol itu arak? Atau alcohol yang wujud dalam arak berbeza dengan alcohol yang wujud dalam benda selainnya?

Perkara ini banyak dipersoal masyarakat. Aku cuba membelek beberapa kitab-kitab fatwa yang ada untuk mencari jawapan.
Secara umumnya alcohol terbahagi kepada dua jenis. Pertama yang dinamakan ethanol dan kedua dinamakan methanol . Untuk mendapat kepastian aku bertanya dengan sahabatku Dr Aizat Amiruddin yang mengambil jurusan perubatan di JUST tentang kandungan alcohol di dalam arak dan alcohol yang wujud di dalam ubat-ubatan. Beliau menyatakan bahawa 80% alcohol yang ada di dalam ubat adalah alcohol yang sama wujud di dalam arak (ethanol) tapi kepekatannya berbeza-beza mengikut jenis ubat. Pada peringkat mulanya aku membuat kesimpulan peribadi untuk menyatakan keharusan menggunakan ubat-ubat yang mengandungi alcohol sebelum maklumat berharga yang aku peroleh ini sampai ke pengetahuanku. Tapi aku “taraddud” setelah maklumat ini aku terima. Kerana awalnya aku menyangka semua alcohol yang terkandung di dalam ubat 100% berbeza dengan alcohol yang wujud dalam arak. Lalu aku kembali membelek fatwa-fatwa di kalangan ulama’ semasa berkenaan perkara ini secara perlahan-lahan. Satu demi satu aku baca bahkan kadang-kadang aku ulang berkali-kali ayat yang sama untuk menyakinkan apa yang aku baca.

Para ulama’ Syafi’eyyah menayatakan bahawa sekiranya alcohol yang memabukkan itu (ethanol, atau dalam bahasa mudahnya arak) dengan tujuan perubatan dicampur dengan bahan-bahan yang lain sehingga menyebabkan berlakunya istihlak ( استهلاك ) iaitu hilangnya unsur-unsur arak itu maka ianya dibolehkan syara’ untuk digunakan dengan syarat;

1. Setelah mendapat nasihat daripada doctor muslim yang adil

2. Tiada alternative

3. Kandungan yang terlalu sedikit dan tidak memabukkan

Oleh yang demikian aku mengira, inilah juga hasil daripada istinbat hukum yang diberikan oleh Dr. Sa’id Ramadhan al-Buthi apabila beliau menyatakan tentang haramnya ubat yang mengandungi alcohol sekiranya memabukkan dan sekiranya tidak memabukkan kerana kandungan yang sedikit dan darurat maka ia dimaafkan

Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula berfatwa bahawa sekiranya alcohol yang memabukkan itu bercampur dengan minuman atau sebagainya dengan nisbah 5:1000 iaitu 0.05% atau dengan kata lain jumlah yang terlalu sedikit maka ia harus digunakan kerana jumlah yang sedikit itu tidak memberi kesan perubahan dengan syarat alcohol yang wujud itu berlaku dengan kaedah semula jadi dalam bahan tersebut dan bukan dicampur dengan sengaja.

Manakala alcohol yang wujud dalam minyak wangi juga berlaku khilaf akan keharusan menggunanya kerana mungkin maklumat yang sampai kepada para ulama’ berdasarkan teknologi sains kimia dizaman masing-masing.

Mengikut Dr Ali Jumu’ah, beliau menyatakan secara agak terperinci bahawa alcohol terbahagi kepada 16 jenis yang mana tidak semuanya memabukkan. Dan bagi kategori ethanol (yang memabukkan) termasuk di bawahnya dua keadaan;

1. Digunakan dengan tujuan untuk memabukkan seperti arak maka ia adalah haram.

2. Digunakan bukan dengan tujuan untuk memabukkan seperti minyak wangi, iodine yang digunakan sebagai penyah jangkitan dan sebagainya. Bagi keadaan ini para ulama’ Hanafiyyah kesemuanya menyatakan akan keharusan menggunakannya, bahkan tidak dikira najis sekira inilah tujuannya.

KESIMPULAN

Isu-isu sebegini menunujukkan kepada kita bahawa para ulama’ itu tidak seharusnya berdiri sendiri dalam menyatakan hukum syar’iat dan para pakar dalam pengkhususan masing-masing seperti doctor perubatan misalnya juga tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga membelakangkan kehendak syari’at. Maha benarlah perintah Allah Ta’ala;

فاسألوا أهل الذكر إن كنتم لا تعلمون

“Maka bertanyalah kamu kepada yang pakar sekiranya kamu tidak tahu”


[Surah an-Nahl: 43]

Wallahua’lam

p/s: kalau batuk mak aku suruh makan madu perah limau..takde madu kicap pun boleh.walaupun bid’ah dalam perubatan tapi insyaAllah mujarab punya…serius, aku tak tipu ni…

Rujukan

[1] Sohih Muslim bi syarah al-nawawi

[2] Sohih Ibn Hibban

[3] al-Mufassol fi ahkam al-mar’ah wal baitil muslim; Dr Abd Karim Zaidan

[4] al-Halal wal haram fil Islam; Dr Yusuf al-Qaradhawi

[5] al-Intifa’ bil a’yan al-muharromah; Jumanah Muhammad Abd Razzak

[6] Fatawa asriyyah; Dr Ali Jumu’ah

[7] Fatawa Syar’iah; Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris

[8] Mausu’ah feqhiyyah kuwaitiyyah

[9] Kitab al-kabair; al-Imam ad-Dzahabi

[10] Ma'a an-naas: musyawwarat wa fatawa; Dr Sa'id Ramadhan al-Buthi

[11]http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=5881&version=1&template_id=130&parent_id=17

Teruskan membaca, semoga bermanfaat..

  © Free Blogger Templates 'Greenery' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP